Sebagai pencinta makanan, saya amat tertarik untuk berkongsi artikel mengenai makanan pelik dari seluruh dunia. Amat jauh sekali untuk menikmatinya tetapi sekadar kagum melihat bagaimana orang-orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dapat merasai kenikmatan makanan yang barangkali jijik bagi pandangan kita.
Sup sarang burung
Sup sarang burung dikategorikan sebagai makanan pelik kerana ia didapati daripada cairan saliva atau air liur burung layang-layang. Masyarakat cina percaya bahawa sup sarang burung dapat memberi khasiat seperti meningkatkan daya ketahan tubuh, meningkatkan sistem percernaan serta keupayaan seksual, merawat asma dan sebagainya.
Haggis
Hidangan ini merupakan makanan tradisional orang Scotland. Ia diperbuat daripada organ-organ dalaman kambing biri-biri (Hati, paru-paru, jantung) dan dimasak dengan pelbagai rempah serta disumbat di dalam usus biri-biri.
Casu Marzu
Makanan orang Sardinia, Italy. Ia diperbuat daripada keju (susu kambing) dan dibiarkan busuk dengan ulat (larva lalat). Khasiat hidangan ini tidak diketahui.
Telur Seribu Tahun
Makanan orang cina. Menggunakan telur itik atau ayam dan dicampurkan dengan pelbagai bahan perapan (tanah liat, garam, asam limau, hampas padi) dan diperap selama beberapa minggu sehingga berbulan-bulan. Hidangan istimewa terutama hari perkahwinan.
Muktuk
Bagi yang menggemari makanan mentah bolehlah pergi ke Alaska atau bahagian kutub utara untuk menikmati hidangan orang eskimo. Muktuk atau daging ikan paus terutamanya daripada ikan paus Bowhead menjadi makanan orang-orang eskimo sama ada dimakan mentah atau dimasak mengikut citarasa masing-masing.
Balut
Balut, atau embrio itik yang direbus serta dinikmati oleh orang-orang Filipina. Makanan ini amat popular di Filipina dan banyak dijual digerai-gerai. Mereka mengatakan bahawa ianya sedap dan berkhasiat.
Labah-labah Goreng
Makanan orang-orang Indochina terutama sekali di kemboja, Thailand dan sebagainya. Makanan ini mula dimakan ketika zaman peperangan Khmer Rouge di mana sebahagian pelarian kebuluran dan memakan apa sahaja yang dijumpai.
Ulat Mopane
Makanan daripada Afrika. Ulat mopane berasal daripada pokok mopane. Ulat ini hidup hanya dengan memakan daun-daun pokok mopane dan tidak merbahaya. Ia adalah sumber protein bagi masyarakat afrika dan diperolehi dengan banyaknya sebelum musim kemarau.
Banyak lagi makanan pelik yang semestinya tidak kita ketahui, namun amalan pemakanan yang terbaik adalah bergantung terhadap kandungan zat di dalam makanan tersebut. Namun terdapat di dalam Al-Quran tentang makanan di mana surah Al-Baqarah, ayat 172 menyebut " Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya"...
Hello Everyone
Selamat Datang ke blog saya.
Friday, December 31, 2010
Fugu...Ikan yang amat berbisa...
Amalan memakan ikan fugu (pufferfish) atau bahasa melayunya adalah ikan buntal adalah biasa di kalangan masyarakat Jepun (terdapat juga bangsa lain yang memakan ikan buntal tetapi bilangan amat kecil). Di mana-mana sahaja, ikan ini terkenal dengan toxin yang terkandung di dalam badannya. Ikan fugu dihidangkan di beberapa restoren sebagai makanan eksklusif dan antara hidangan yang termahal kerana kepakaran untuk menyediakannya memerlukan chef yang berlesen.
Ikan fugu, mempunyai bisa tetrodotoxin, yang dapat melemahkan atau menggagalkan pemindahan signal elektrik dalam sistem saraf sekaligus menyebabkan kegagalan pelbagai fungsi sistem organ dalaman. Bagaimana bisa ini bertindak? Ia bertindak dengan mengikat atau menyelaputi protein saluran sodium dalam membran sel saraf. Racun TTX (Tetrodotoxin) didapati di dalam hempedu atau hati serta ovari (saluran pembiakan ikan) dan sebahagian racun juga terdapat di dalam kulit. Tetrodotoxin tidak menghalang saluran darah, jadi mangsa keracunan bisa ini berada di dalam keadaan sedar (kejang) sehingga mati kerana kesesakan nafas. Mengerikan....... Simptom-simptom keracunan bermula dengan kebas dan panas di hujung lidah, kejang, pening serta mual, mengeluarkan kata-kata yang tidak difahami, dan sesak nafas... Paling lama untuk bertahan (bergantung kepada jumlah yang dimakan) adalah selama 30 minit hingga 2 jam dan paling pantas adalah kurang dari 20 minit, mangsa akan mati. Tiada antidot yang dapat menyelamatkan mangsa sekiranya terkena racun, melainkan mereka dibantu dengan alat pernafasan sehingga bisa beransur hilang..
Hidangan ikan fugu mentah.. Nampak sedap, tapi...
Hidangan fugu yang dijadikan sashimi (hirisan daging mentah) mencecah harga USD100-USD500 di Jepun masih dianggap sebagai makanan yang istimewa walaupun ia beberapa kali diharamkan di beberapa daerah. Semasa era pemerintahan Meiji (1867-1912), fugu diharamkan kerana membawa banyak kematian. Tetapi ia menjadi sangat popular. Pada tahun 1958, sebarang penyediaan ikan fugu perlu mendapat lesen bagi membolehkan mereka mahir dalam penyediaan fugu. Jenis fugu yang paling berbisa adalah takifugu.
Takifugu
Sunday, December 5, 2010
Narwhal: Ikan Paus yang unik
Pada suatu hari ketika saya membawa anak-anak bersiar-siar, salah seorang anak saya bertanyakan kepada saya mengenai ikan yang mempunyai "gerudi" di kepalanya. Saya terdiam sebentar kerana tidak berani mengatakan sama ada ianya wujud atau tidak. Tetapi ingatan saya muncul kembali dan yakin bahawa haiwan ini wujud. Bimbang untuk menghampakan mereka, saya lekas mencari jawapan yang pasti. Narwhal, atau nama saintifiknya Monodon monoceros, dijumpai di kawasan Artik, iaitu di Canadian Artic dan Greenlandic Artic.
Narwhal mendapat nama bersempena dengan bahasa Norse lama (German Utara yang dituturkan oleh sebahagian penduduk Scandinavia ketika zaman Viking) yang menggelarkannya n ár, bermaksud mayat kerana warna narwhal yang kelabu-kebiruan dibahagian atas dan berwarna putih di bahagian bawah badan. Manakala nama saintifiknya pula berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud satu tanduk.
Berat narwhal jantan boleh mencapai sehingga 1,600 kilo dan betina pula sehingga 1,000 kilo. Panjang tanduk pula di antara 2-3meter dan berat tanduk sehingga 10 kilogram.
Narwhal diburu oleh manusia untuk mendapatkan tanduknya. Sebagai contoh, Permaisuri Elizabeth pada kurun ke-16 sanggup mengeluarkan belanja untuk memiliki satu tanduk narwhal dengan harga 10,000 pound. Selain itu, tanduk atau gigi narwhal juga turut menghiasi beberapa istana diraja seperti Istana Korninkaku di Jepun, dan Denmark.
Terdapat dua spesis paus di dalam keluarga Monodontidae iaitu narwhal dan beluga. Namun ikan paus beluga tidak mempunyai tanduk atau gigi yang panjang seperti narwhal. Ikan paus beluga berwarna putih dan dikenali dengan nama saintifiknya Delphinapterus leucas. Nama ikan paus beluga atau "kenari laut" dipanggil bersempena dengan bunyi mencicit seperti burung kenari.
Ikan beluga jantan boleh membesar sehingga 5.5m (18 kaki) manakala betina pula membesar sehingga 4.1m (13 kaki). Beluga jantan bergerak dalam kumpulan yang besar sehingga mencapai ratusan ekor dalam kumpulan manakala beluga betina dan anaknya bergerak dalam kumpulan yang kecil. Pergerakan fizikal beluga adalah perlahan dan diet makanan utamanya adalah ikan, udang, ketam dan lain-lain.
Kedua-dua spesies ini tidak mendatangkan bahaya kepada manusia tetapi ia di ancam oleh pelbagai bahaya yang lain termasuklah serangan pemangsa, aktiviti perikanan yang melampau, serta ketidakseimbangan iklim dunia akibat pencemaran dan penipisan lapisan ozon.
Artikel menarik: http://www.animals.nationalgeographic.com
Saturday, December 4, 2010
Hidupan Laut Yang Menakjubkan....
Di atas muka bumi ini Allah ciptakan pelbagai jenis makhluk. Dari sekecil-kecil zarah sehinggalah sebesar-sebar makhluk; mereka mempunyai keistimewaan tersendiri. Seperti yang kita ketahui, setiap makhluk ini wujud di setiap pelosok alam termasuklah di lautan dalam. Beberapa penemuan oleh ahli saintis yang mengkaji hidupan marin, mendapati terdapat hidupan yang mendiami lapisan laut dalam.Antara hidupan ini termasuklah lantern fish, flashlight fish, cookie-cutter shark, bristlemouths, angler fish dan viper fish. Nama-nama ini diberikan mengikut keadaan fizikal haiwan tersebut. Seperti lantern fish, ia dinamakan kerana badannya mampu mengeluarkan cahaya seperti lampu melalui photophores iaitu organ yang menghasilkan cahaya.
Selain itu, terdapat juga ikan yang turut menghasilkan cahaya seperti angler fish. Haiwan ini amat unik kerana ia menghasilkan cahaya yang seakan-akan cahaya yang dihasilkan oleh mentol ciptaan manusia. Ikan ini mempunyai bentuk badan yang kecil dan kepala yang besar, serta mempunyai rahang bawah yang besar. Ikan angler menggunakan umpan yang berada di atas kepalanya (satu unjuran daging memanjang dan dihujungnya terhasillah cahaya). Walaupun ikan angler terkenal sebagai hidupan laut dalam, namun ia juga mempunyai spesies yang tinggal di perairan cetek. Ikan angler yang tinggal di perairan cetek tergolong dalam golongan pelagic (yang tinggal di perairan terbuka), manakala yang tinggal di laut dalam tergolong dalam golongan laut dalam adalah jenis benthic (penghuni dasar laut). Kedua-dua jenis ini menunjukkan perbezaan dari segi fizikal mereka. Jenis pelagic mempunyai bentuk yang agak leper sedikit berbanding jenis benthic.
Pelagic angler fish
Monkfish
Goosefish
Benthic angler fish
Humpback angler fish
Selain itu terdapat juga angler fish yang menarik perhatian dengan memiliki bentuk fizikal seakan-akan seekor katak!! Frogfish atau nama saintifiknya adalah Antennarius Coccineus berasal daripada keluarga Antennariidae dan boleh dijumpai di semua kawasan tropika dan sub-tropika dan di semua lautan.
Walaupun ia kelihatan seperti mempunyai kaki, namun ianya merupakan sirip yang mengunjur dari badan dan apabila ia menyentuh permukaan tanah, ia kelihatan seperti berjalan. Frogfish juga berbeza daripada rupa dan bentuk, mengikut kawasan tertentu. Seperti di Indonesia, frogfish kelihatan menarik dengan badan yang berbelang dan berwarna coklat muda.
Psychedelic Frogfish ini dijumpai di perairan Ambon pada tahun 2008.
Tujuan warna yang terdapat pada badan ikan ini adalah untuk melindunginya daripada bahaya atau ancaman pemangsa yang lain atau erti kata yang lain, penyamaran. Oleh itu, hidupan yang tercipta di muka bumi ini amat menakjubkan...
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfa`at kepada manusia demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang, demikian juga (pada) peredharan angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan ke esaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran." Surah Al-Baqarah ayat 164
Keseluruhan artikel menarik boleh dilayari di http://www.seasky.org/deep-sea/deep-sea-menu.html
Subscribe to:
Comments (Atom)
























