Pada suatu hari ketika saya membawa anak-anak bersiar-siar, salah seorang anak saya bertanyakan kepada saya mengenai ikan yang mempunyai "gerudi" di kepalanya. Saya terdiam sebentar kerana tidak berani mengatakan sama ada ianya wujud atau tidak. Tetapi ingatan saya muncul kembali dan yakin bahawa haiwan ini wujud. Bimbang untuk menghampakan mereka, saya lekas mencari jawapan yang pasti. Narwhal, atau nama saintifiknya Monodon monoceros, dijumpai di kawasan Artik, iaitu di Canadian Artic dan Greenlandic Artic.
Narwhal mendapat nama bersempena dengan bahasa Norse lama (German Utara yang dituturkan oleh sebahagian penduduk Scandinavia ketika zaman Viking) yang menggelarkannya n ár, bermaksud mayat kerana warna narwhal yang kelabu-kebiruan dibahagian atas dan berwarna putih di bahagian bawah badan. Manakala nama saintifiknya pula berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud satu tanduk.
Berat narwhal jantan boleh mencapai sehingga 1,600 kilo dan betina pula sehingga 1,000 kilo. Panjang tanduk pula di antara 2-3meter dan berat tanduk sehingga 10 kilogram.
Narwhal diburu oleh manusia untuk mendapatkan tanduknya. Sebagai contoh, Permaisuri Elizabeth pada kurun ke-16 sanggup mengeluarkan belanja untuk memiliki satu tanduk narwhal dengan harga 10,000 pound. Selain itu, tanduk atau gigi narwhal juga turut menghiasi beberapa istana diraja seperti Istana Korninkaku di Jepun, dan Denmark.
Terdapat dua spesis paus di dalam keluarga Monodontidae iaitu narwhal dan beluga. Namun ikan paus beluga tidak mempunyai tanduk atau gigi yang panjang seperti narwhal. Ikan paus beluga berwarna putih dan dikenali dengan nama saintifiknya Delphinapterus leucas. Nama ikan paus beluga atau "kenari laut" dipanggil bersempena dengan bunyi mencicit seperti burung kenari.
Ikan beluga jantan boleh membesar sehingga 5.5m (18 kaki) manakala betina pula membesar sehingga 4.1m (13 kaki). Beluga jantan bergerak dalam kumpulan yang besar sehingga mencapai ratusan ekor dalam kumpulan manakala beluga betina dan anaknya bergerak dalam kumpulan yang kecil. Pergerakan fizikal beluga adalah perlahan dan diet makanan utamanya adalah ikan, udang, ketam dan lain-lain.
Kedua-dua spesies ini tidak mendatangkan bahaya kepada manusia tetapi ia di ancam oleh pelbagai bahaya yang lain termasuklah serangan pemangsa, aktiviti perikanan yang melampau, serta ketidakseimbangan iklim dunia akibat pencemaran dan penipisan lapisan ozon.
Artikel menarik: http://www.animals.nationalgeographic.com





No comments:
Post a Comment